Thursday, February 26, 2009

Mari menghayati Kelahiran Nabi kita....


Peristiwa sebelum kelahiran Rasulullah....

Rasulullah  lahir  hari isnin 12rabiulawal thn gajah bersamaan 20 april 571 M.  R wafat hari isnin, 13 rabiulawal thn 11 Hijrah, bsmaan 8 jun 633 M

Firman Allah :

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الأخر

 

Sabda Rasulullah :

أدبني ربي فأحسن تأديبي

 

            Sejarah yang paling agung, inilah sejarah Rasulullah SAW, siri sejarah ini kita harapkan bukan saja dapat mengajar Umat Islam tentang agamanya dan peribadi agung Rasulnya Muhammad SAW tapi juga kita harapkan pengajian sirah ini dapat mengajar kita berbagai perkara. Tampa memahami sejarah tidak mungkin kita memahami Al Quran. Banyak ayat Quran yang tidak mungkin difahami melainkan kita kembali kepada Asbabun Nuzul (sebab sebab ayat diturunkan) sedangkan Asbabun Nuzul ini ada dalam sejarah Rasulullah SAW.

            Kita mulakan dulu dengan peristiwa-peristiwa sebelum kelahiran RASW supaya kita juga dapat mengetahui sejarah bangsa Arab sebelum kelahiran RAS. Sehingga nanti kita dapat melihat perbandingan. Bagaimana mereka sebelum dan selepas kedatangan RASW. Bagaiman perubahan yang berlaku Jaziratul Al Arabiah. Satu perubahan yang sangat besar dan luar biasa. Ianya hanya akan boleh kita fahami  bila mana kita menghayati sejarah RASW yang agung ini.

 

1.Perintah Allah kepada Nabi Ibrahim membina Kaabah

 

            Ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS membawa isteri dan anak kecil kesayangannya Nabi Ismail AS untuk ditinggalkan di Mekah  disatu wadi gersang tampa tumbuhan disisi Rumah Allah di Tanah Haram بواد غير ذي زرع عند بيتك  المحرم . Disitulah Kabah dibina oleh Nabi Ibarahim selepas itu. Mekah ketika itu hanya sebuah wadi yang kosong dan kering kontang. Nabi Ibrahim telah mendatanginya dari Palestin tanah yang diberkati, dengan perintah Allah. Di tempat yang bakal menjadi Baitul Haram baginda meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail AS. Ketika ditinggalkan disitu Siti Hajar merasa pelik kerana tidak ada air, tidak ada makanan, tidak ada jiran yang boleh menolong bahkan tiada manusia lain, sedangkan dia ditinggalkan bersama seorang bayi kecil.

 

            Ketika Nabi Ibrahim meninggalkan tempat itu, Siti Hajar mengekori Nabi Ibrahim sambil bertanya namun Nabi Ibrahim tidak mengendahkannya. Sehinggalah akhirnya Siti Hajar bertanya (آلله أمرك بهذا   ) Apakah Allah yang perintahkan hal ini. Benar jawab Nabi Ibrahim. Siti Hajar dengan penuh yakin dan hati yang beriman dengan kekuasaan Allah ( إذن لن يضيعن الله ) berkata, kalau begitu pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita. Kalaulah ini perintah Allah pasti ada pembelaan dari Allah Tuhan yang Maha Baik itu. Si anak menangis kehausan sementara susu Siti Hajar sudah mula kering. Berlarilah Siti Hajar mencari air dari Safa ke Marwah dengan penuh cemas dan harap pada Tuhan. Berkat rintihan hati Siti Hajar yang bergantung penuh dengan Tuhan itu Allah menghantar Saidina Jibril, dengan sayapnya dia menyingkap telaga Zamzam yang terpancar dari hentakan kaki bakal seorang Nabi Allah yang mulia Nabi Isamail AS. Inilah sejarah Zam zam yang kekal hingga hari ini.

 

            Menurut Ulamak sejarah, perkara ini berlaku selepas satu empangan besar di Yaman yang namnya Sad Maarib pecah. Emapangan Maarib ketika itu adalah satu empangan yang besar dan menjadi sumber air dan sumber kehidupan kepada rakyat Yaman ketika itu. Empangan ini dibina oleh kerajaan Saba' di Yaman yang terkenal dengan kepakaran seni bina. Mereka membina empangan ini untuk menampung air hujan yang akan dimenafaatkan untuk keperluan harian dan pertanian mereka. Bila mana mereka engkar dengan Tuhan Allah hukum mereka dengan dipecahkan empangan mereka. Bila empangan pecah bangsa Arab yang berasal dari Yaman ini terpaksa berpindah dari Yaman mencari kehidupan ditempat baru. Maka bertebaranlah bangsa Arab ini keseluruh semenanjung Arab, Kabilah Tsaqif berpindah ke Taif, Kabilah Aus dan Khazraj ke Madinah, Arab Ghasasinah berhijrah ke Syam, Arab Manazirah berhijrah sampai kesempadan Irak.

 

            Ketika itu Kabilah Jurhum yang sedang mencari tempat baru lalu dekat degan Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan menandakan ada air dikawasan itu sedangkan mereka tahu memang tak pernah ada air dikawasan itu. Bila diperiksa, benar  ada air disitu. Maha Besar Tuhan yang berkuasa mengadakan yang tiada. Begitulah Allah membela isteri yang solehah ini yang taat setia dengan perintah Allah dan suaminya, Nabi Ibrahim. Mereka mendapati ada seorang perempuan dan anak kecilnya ditempat air. Kabilah Jurhum yang terkenal baik ini tidak terus merampas zamzam dari Siti Hajar. Mereka minta izin untuk berkongsi air dengan Siti Hajar bahkan mereka sanggup membayar sewa telaga air ini kepada Siti Hajar. Allah yang maha Baik tidak mesia-siakan hambanya yang bergantung penuh dengan rahmatnya. Apalagi inilah keberkatan doa dan rintihan hati Nabi Ibrahim dan isterinya yang solehah dan taat setia itu. Nabi Ibrahim kerana perintah Allah dengan hati yang tabah meninggalkan isteri dan anak kesayangannya ditempat yang lojik akal mengatakan tak mungkin boleh hidup disitu. Namun inilah keyakinan seorang Nabi dengan Tuhannya. Mengapa kita belajar dari keyakinan ini. Bantuan dan kuasa Tuhan itu mengatasai lojik akal manusia.

 

إن الله على كل شيء قدير

Sesungguhnya Allah Taala berkuasa penuh diatas segala sesuatu

 

            Setelah Nabi Ismail agak dewasa, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina Kaabah diatas tapak asas kabah yang dibina oleh Nabi Adam AS. Kaabah pertama telah dibina dizaman Nabi Adam lagi, kemudian runtuh dan terkambus. Setelah siap pembinaan Kaabah hanya tinggal satu yang tidak dapat disempurnakan kerana tak ada batu yang cukup ukuran untuk menyempurnkan penjuru. Setelah dicari-cari pu tidak berhasil. Allah telah menturunkan batu dari syurga. Itulah Hajarul Aswad yang disunatkan pada jemaah haji sampai hari ini mengucupnya.

 

            Betapa hebat keyakinan Nabi Ibrahim dan taat setianya pada perintah Tuhan tanpa sebarang dolak dalih. Maka Allah bagi pihaknya pula telah melakukan sesuatu yang diluar kemampuan dan akal fikiran manusia. Alangkah hebatnya Tuhan.. Setelah Kaabah siap, walhal dia hanya satu banggunan batu. Bagaimana pula  nak panggil orang datang ke Kaabah. Allah perintahkan Nabi Ibrahim melaungkan azan, membuat seruan pada manusia. Kata nabi Ibrahim, wahai Tuhan bagaiman suara aku nak sampai kepada semua manusia. Jawap Allah, tugas kamu wahai Ibrahim hanyalah azan iaitu membuat seruan. Sedangkan Allahlah yang akan menyampaikan kepada manusia. Nabi Ibrahim naik ke Jabal Arafah melaungkan azan menyeru manusia dari seluruh dunia ke Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasanya yang tiada batas itu,  Allah telah memperdengarkan suara Nabi Ibrahim kepada semua manusia. Bahkan Allah jatuhkan ke dalam hati-hati manusia rasa cinta dan rasa hormat pada Kaabah. Lihatlah lagi ketaatan mutlak Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah. Lihatlah juga bagaimana Allah yang Maha Berkuasa itu menjayakan kehendaknya.

 

            Dengan itu bermulalah orang berdatangan membuat haji ke Kaabah khususnya dari semenanjung Arab. Mereka tiba-tiba tanpa diarah dan diberitahu oleh sesiapa telah membesar-besarkan dan memuliakan Kaabah. Dengan itu bermulalah ibadah Haji dengan kuasa Allah. Tersebarlah agama Tauhid sehingga akhirnya seluruh bangsa Arab menganut agama Nabi Ibrahim. iaitu agama yang mengesakan Tuhan dan agama yang Tuhan redhai. Allahlah yang telah memenangkan agamanya tampa campur tangan sesiapa. Bukankah ini kebenaran janji Allah dalam QuranNya.

 

وما النصر إلا من عند الله

Tiadalah kemenangan itu melainkan semata-mata kurnian  dari Allah taala

 

Abarahah ingin meruntuhkan Kaabah

 

Abrahah masih belum puas hati, dia mahu pujuk Najashi lagi. Lalu dia membina sebuah gereja yang paling besar ketika itu di Yaman. Abrahah namaknnya Al Qulais القليس. Abarahah menghantar lapuran kepada Najashi bahawa dia telah membina sebuah gereja yang paling besar di Yaman dan dia akan memerintahkan semua kabilah Arab datang membuat haji di Yaman. Mulalah Abrahah menghantar utusannya kepada kabulah-kabilah Arab supaya mereka datang haji di Al Qulais. Bila berita ini sampai pada salah satu kabilah Arab yang paling memebesarkan kaabah iaitu Ahlun Nasi' أهل النسيء . Ada  salah seorang dari mereka datang senyap senyap ke Al Qulais lalu dia buang air besar disitu dan disapunya kedinding Al Qulais.

 

Bila Abrahah tahu bahawa orang yang membuat angakra ini kepada Al Qulais adalah dari Ahlun Nasi' yang sagat membesarkan dan mencintai Kaabah. Abrahah naik berang lalu mempersiapkan tenteranya untuk meruntuhkan Kaabah. Dia membawa sekali gajahnya yang besar yang bernama Mahmud. Dalam perjalanan Abrahah menuju ke kaabah ada beberapa kabilah Arab datang menyerang tentera Abrahah untuk menyekatnya dari meruntuhkan Kaabah. Namun semuanya dikalahkan dengan mudah oleh tentera Abrahah yang gagah dan lengkap dengan senjata itu. Bila Abrahah sampai ke Taif, orang Taif tak berani nak menyekat Abrahah. Sebaliknya mereka berlepas tangan dari Kaabah, bahkan mereka menghantar wakil mereka untuk menunjukkan jalan dan Kaabah kepada Abrahah. Nama wakil orang orang Taif ini Zu Rughal ذو رغل, Sebelum sampai ke Kaabah Zu Rughal mati, dia ditanam ditempat kematiannya. Setelah itu kuburnya jadi tempat orang Arab merejam sebagai penghinaan kepada orang yang khianat kepada kaumnya. Sampai hari ini nama Zu Rughal ini jadi perumpamaan kepada orang yang khianat dikalangan orang Arab. Orang yang khianat disebut Zu Rughal.

 

Jadi bila tentera Abrahah sampai dekat dengan Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang orang Mekah. Diantara yang mereka rampas 200 ekor unta Abdul Mutallib. Abdul Mutallib datuk Nabi kita yang ketika itu merupakan ketua Mekah datang mengadap Abrahah. Bila Abdul Mutalib masuk mengadap Abrahah, Abrahah turun duduk dibawah dengan Abdul Mutallib kerana menghormati Abdul Mutalib. Melihat perawakannya saja sudah jelas kehebatan dan ketokohannya. Abdul Mutallib minta Abrahah kembalikan binatang ternakannya dan binatang ternakan orang Mekah yang telah dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah terkejut mendengar permintaan itu, Abrahah fikir Abdul Mutallib nak minta belas kasihannya supaya jangan ganggu Kaabah. Kata Abdul Mutallib, Wahai Abrahah, aku ini tuan unta unta ini sebab itulah aku minta dibebaskan unta unta ini, Kaabah itu ada tuannya, yang menjaganya, kalau Kaabah itu Rumah Allah pasti Allah menjaganya

 

للبيت رب يحميه

Kaabah ada Tuhan yang menjaganya

 

Dengan itu Abrahah mengembalikan ternakan yang dirampas dan berjanji tidak akan mengganggu orang Mekah, yang penting dia nak robohkan Kaabah. Jadi Abdul Mutallib pulang ke kaumnya membawa semula binatang ternakan mereka yang dirampas dan mengajak mereka keluar dari Mekah ke bukit yang berhampiran. Dari bukit itulah orang orang Mekah dengan hati yang hiba dan cemas memerhatikan apa yang akan dilakukan oleh Abrahah kepada Kaabah.

 

Pada hari yang telah takdirkan oleh Allah Abrahah mengarahkan tentera bergajahnya ke arah Kaabah untuk merobohkan Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasa Allah Rabbul kaabah, gajah tidak mahu bergerak walaupun dipukul, bila digerakkan ke arah lain dia mahu bergerak, bila dihalakan ke arah kaabah gajah tak mahu bergerak. Ketika itu juga kelihatan awan hitam dilangit, bila kehitaman hitam itu makin dekat rupanya sekumpulan burung burung Ababil setiap seekor burung bawa tiga biji batu kecil. Bila tentera Abrahah tiba burung burung ini melepaskan batu batu kecil ini kepada tentera Abrahah. Maha Besar Tuhan yang maha Gagah, bila batu batu kecil ini mengenai tentera Abrahah mulalah daging-daging mereka berguguran dan menjadi cair. Ramai tentera Abrahah yang mati, bila Abrahah melihat hal itu dia lari menyelamatkan diri tapi batu sudah mengenai badanya. Akhirnya Abrahah dan semua tenteranya semuanya mati tampa kecuali. Allah telah menceritakan pada kita umat akhir zaman cerita ini dalam Al Quran.

 

ألم تر كيف فعل ربك بأصحاب الفيل الم يجعل كيدهم في تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول 

 

Terjemahanya : Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah, 2. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia? 3. dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, 4. yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, 5. lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

 

Surah al-fiil ayat 1-5

 

Maha Besar Tuhan, dengan peristiwa ini bertambah besarlah penghormatan orang orang Arab kepada Kaabah terutama bangsa Quraish dan orang orang Mekah yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepala mereka sendiri. Dengan itu tahun itu dinamakan Tahun Gajah عام الفيل. Bermula dengan kejadian ini orang Arab menyusun taqwim mereka dengan peristiwa ini. 5 tahun sebelum tahun gajah, 2 tahun selepas Tahun Gajah, dan seterusnya. Maka Rasulullah SAW Nabi Besar junjungan kita dilahirkan pada tahun ini. Iaitu pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah.

Rabi3ul aWwaL menjelang lagi.....


Alhamdulillah..tak sangka rupanya sudah hampir lebih 1450tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita umatnya, tapi sehingga hari ini bilangan umat islam makin bertambah ramai walaupun yang ramai tu banyak mengaku islam tapi hakikatnya...hanya Tuhan yang tahu..mudah2an semuanya mendapat keselamatan dengan Nabi junjungan kita yang sangat kuat rasa belas kasihannya dan kasih sayangnya terhadap umatnya....

Bercakap tentang maulidur Rasul sebenarnya banyak percanggahan pendapat dikalangan umat islam sendiri... ada yang kata itu..ada yang kata ini...kalau dilihat dari segi ilmunya dan sejarahnya..rasanya tidak pun sampai jatuh hukum haram atau syirik seperti yg sesetengah pihak mendakwa...

ada ke patut nak sambut dan memperingati hari lahir manusia yang sungguh besar jasanya pada kita boleh jadi dosa??? lain la kalau dalam majlis maulid tu kita sambut macam orang2 kafir yang menyambut hari lahir mereka..itu dah jadik lain kes...ini kita nak menyambut hari lahir seorang manusia yang agung yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dengan memuji2 dan membersarkannya serta berselawat kepadanya...takkan itu pun dosa???

Allah dan malaikat pun berselawat ke atas baginda..apatah lagi la kita hamba2 ciptaan Tuhan yang lemah nie... nak kata iman kita sehebat sahabat2 atau wali2 tu...jauh skali la.... iman kita umat akhir zaman yang ramai2 nie seperti yang Rasulullah ibaratkan didalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu daud yang mafhumnya begini :

Rasulullah SAW ada bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.” Ada Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat?” Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.” Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.” Sahabat bertanya pula, “Apakah itu Al Wahan?”Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati.

aw kama qal...

Jadi melalui hadis di atas kita dapat lihat bagaimana baginda SAW menggambarkan umatnya...ramai..tapi tak berkualiti imannya...ibarat buih2 di lautan...dampak macam menggerunkan dari jauh..tapi bila datang ombak besar atau angin yg melanda....habis semuanya ada yg meletup..ada yg tenggelam...dan macam2 lagi la...

Jadi kita yang dah tau kita ni lemah patutnya kita kena la perbanyakkan amalan yang boleh menjamin keselamatan kita...klu nak kata sembahyang kita boleh menyelamatkan kita..belum tentu lagi....enta sah ke tidak semayang kita..cukup ke syarat sembahnyang kita..selesai ke taharah kita...jadi secara ringkasnya... jalan pintas utk kita minta Tuhan mudahkan kita untuk diberi faham dan menghayati amalan kita tak lain dan tak bukan dengan banyakkan berselawat kepada bagibda Rasulullah SAW dan mencintai baginda...nak mencintai baginda pulak kita kena cari seorang guru yang mursyid yang boleh menunjukkan kita bagaimana nak mencintai Rasulullah SAW dengan sebenarnya dan menghayati sunnah2 baginda supaya dapat di praktikkan dalam kehidupan seharian kita... oelh itu cari lah guru mursyid..dan banyakkan berselawat dan bertawasul....



Sunday, December 14, 2008

Mengapa Kita Patut Tegakkan Islam Sebagai Undang-Undang, Bukan Sekadar Akidah Dan Ibadah?

Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan dari Al Quran dan Sunnah sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Mereka yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa sahaja tapi cerdik pandainya terutama yang mendapat pendidikan Barat turut rasa tidak senang dan membangkang. Bahkan sebahagian ulama pun akan ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara.

Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang, ada yang mencemik. Ada yang kerut muka. Ada yang mengatakan:

“Nanti apa kata bangsa lain.”

“Nanti orang takut.”

“Boleh membawa huru-hara.”

“Kita tidak mahu patah ke belakang.”

“Kita akan jadi mundur.”

Bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.

Kalau Islam itu ditegakkan sebagai akidah dan ibadah, tidak mengapa, mereka tidak menyanggah kerana golongan yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang berakidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju ialah undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup. Ini mereka tidak boleh terima. Kalau kita mendatangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan bersetuju.

Orang Islam zaman kini lebih senang menerima logik akal atau berfikiran secara yang rasional. Katanya kini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan tiada border, bukan zaman unta.

Sekiranya kita serius juga memperjuangkan serta beria-ia sangat untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang, kita akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, dihalang, dibuang, dituduh memecah belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat atau ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.

Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun, adalah logik, rasional, patut serta munasabah bahawa Islam itu dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerima mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tidak akan menerimanya. Mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.

Di sini mari kita membawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang kita rasa amat logik dan rasional mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia sejagat bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara sahaja. Di antaranya seperti berikut:

1. Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan Tuhan dan milik-Nya dan manusia hanya menumpang sementara waktu. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan tidak masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia tapi manusia yang menumpang ini pula yang berhak membuat peraturan.

Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan disiplin atau yang empunya rumah itu membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima bahawa peraturan itu adalah dari yang punya rumah itu. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan rumah tumpangan itu. Ertinya Allah lah yang berhak membuat peraturan di dunia dan bukannya manusia.

2. Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tuan punyanya tidak menetapkan peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan Pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya. Demi keselamatan hamba-hamba-Nya sudah pasti dia membuat peraturan-peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang. Tidak masuk akal, setelah makhluk dicipta kemudian dibiarkan tanpa peraturan sedang manusia pun bila membuat sesuatu ada peraturannya!

3. Di dalam kehidupan kita di dunia, tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu; demi keselamatan barang rekaan; katalog panduannya dibuat oleh si pemakai atau pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna. Oleh kerana itulah katalog yang mengandungi peraturan-peraturan kereta misalnya, pencipta keretalah yang membuatnya. Kalau begitu, tentu lebih logik lagi untuk akal menerima bahawa demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia, maka Allah yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu sudah tentu membuat peraturan iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.

4. Akal dan fitrah semulajadi kita tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, kemudian dia memandai-mandai membuat dan menentukan peraturan-peraturan di rumah kita serta berbuat sesuka hati. Begitulah juga bagi akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, sebagai hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya sudah tentu kita boleh menerima bahawa kita tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita. Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu. Adalah dianggap tidak beradab kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah Pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.

5. Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab. Demi kebaikan keluarga itu dan agar mereka boleh bersatu padu, hidup aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga, peraturan dari ayah sebagai ketua keluargakah atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?

Fitrah semulajadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa menerima bersama peraturan dari ayah itu lebih mudah kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan. Abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. “Mengapa patut saya mengikut adik.” Yang adik pula walaupun dia adik, mungkin kerana dia merasa lebih pandai dari abang-abangnya memandangkan dia lulusan universiti sedangkan abangnya bersekolah rendah sahaja, maka dia kata, “Aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran.” Jika setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan, yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.

Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa yang sama-sama duduk menumpang di bumi Tuhan. Kalau setiap orang, kaum atau bangsa membuat peraturan, seperti ideologi ciptaan (sosialisme, nasionalisme, komunisme atau kapitalisme) untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia yang sama menumpang itu tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem hidup mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga. Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata, “Yang membuat peraturan itu juga manusia macam kami. Kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka.” Kerana manusia ini ada ego, payah hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bila manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima bahawa Tuhan yang menciptakan bumi dan mereka manusia adalah Tuhan bersama, serta menyedari bahawa mereka sama-sama menumpang di bumi Tuhan, ego mereka tidak akan terpukul dan tercabar. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliqnya.

6. Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan mereka, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan dan perhubungan antarabangsa. Kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat. Hal ini telah berjalan beberapa lama, yang telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian. Semua kaum dan bangsa yang bernaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada kalangan mereka tidak menukar akidah dan agamanya. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya sendiri.

7. Selain akidah dan ibadah, peraturan dan undang-undang serta akhlak di dalam Islam itu bersifat sejagat. Ertinya fitrah semula jadi boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, memang mereka bersama-sama mencarinya dan semua orang atau golongan menginginkannya kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Di antara beberapa contoh perkara yang diterima dan menjadi keinginan bersama itu adalah sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, berkerjasama, memberi maaf dan meminta maaf. Sifat-sifat negatif yang dibenci bersama seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim dan pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji serta diberi pahala oleh Allah. Manakala sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci dan sangat ditentang. Di dunia lagi ada hukuman-hukumannya dan di Akhirat nanti kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka. Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi, dua perkara yang kita sebutkan itu tidak dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.

8. Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti dan dicatat di dalam sejarah. Bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama oleh kaum, bangsa dan berbagai-bagai penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu. Hal sedemikian belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti fahaman-fahaman yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama iaitu Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberal kapitalisme. Begitu juga tidak berlaku terhadap faham komunis dari China dan Rusia. Sejarah telah mencatatkan, ideologi mereka itu penuh dengan sejarah hitam, berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa ilmu kemajuan dan pembangunan. Yang paling menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam. Dunia tahu hal ini maka tiada siapa yang boleh menafikannya.

9. Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat, kemudian negara-negara umat Islam telah merdeka satu demi satu. Sejak 60 tahun yang lampau hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka ini, undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama sedangkan di dalam amalan belum berjalan betul dan serius. Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme atau nasionalisme, ada yang berdasarkan liberal kapitalisme atau faham demokrasi Barat. Semuanya dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat dan agar masyarakat bersih daripada gejala-gejala negatif atau tidak sihat. Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, mereka masih takut dan bimbang. Bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam. Namun apa telah terjadi? Secara umum, kemajuan dan pembangunan belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain dan krisis politik masih tidak habis-habis. Di sudut ekonomi pula, banyak negara umat Islam yang miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya. Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas namun rakyat umum masih ramai yang papa kedana. Pergaduhan, pergeseran, pembunuhan dan peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat, dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang mahram masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku disebabkan oleh sistem-sistem yang telah disebut tadi. Ianya berlaku bukan kerana berjalannya undang-undang Islam di negara-negara itu. Patutnya dari pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf terutamanya para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendiakawan-cendiakawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka lebih boleh berfikir.

Sepatutnya umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad bahawa Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah terbukti kebaikannya, beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain. Oleh itu apa hendak ditunggu-tunggu lagi? Kita sudah cuba sistem orang lain dan hasilnya adalah kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat dan kemelaratan.

Apakah kita hendak teruskan undang-undang yang kita pinjam itu, yang ternyata telah merosakkan kita? Atau tunjukkanlah keberanian kita itu menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat.

10. Barat dengan faham dan ideologi mereka, di sudut ilmu dan fizikal, memang mereka berjaya. Mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu. Sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tetapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya gagal, punah-ranah, musnah, hancur dan lebur. Apa tidaknya, malu sudah tiada, seks dan kehidupan lucah macam binatang merata dan menjolok mata. Rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya. Zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja. Sistem kekeluargaannya punah-ranah. Hidup nafsi-nafsi jadi budaya, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja. Agama sudah tiada tempat. Orang tuanya terbiar manakala orang mudanya liar. Membunuh dan tembak-menembak jadi hiburan. Bunuh diri sebagai jalan keluar menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan. Pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai mereka telah bingung untuk mencari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada. Mereka tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam, tidak ada model. Umat Islam pun macam mereka kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama.

Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Ianya boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah mereka. Dengan sistem hidup, mereka berjaya melahirkan lambang-lambang kebesaran syaitan, lambang-lambang kebesaran haiwan dan lambang-lambang kebesaran pokok kayu di hutan rimba yang semuanya berupa manusia. Mereka gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.

Itulah di antara hujah-hujah kita mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi boleh diterima oleh akal. Bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Lebih-lebih lagi akal pun merasakan undang-undang Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, patut didaulatkan, logik dan tidak memalukan. Akal yang waras dan tidak prejudis, boleh menerima bahkan merasa ia patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia, di akhir zaman ini yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.