Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan dari Al Quran dan Sunnah sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Mereka yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa sahaja tapi cerdik pandainya terutama yang mendapat pendidikan Barat turut rasa tidak senang dan membangkang. Bahkan sebahagian ulama pun akan ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara.
Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang, ada yang mencemik. Ada yang kerut muka. Ada yang mengatakan:
“Nanti apa kata bangsa lain.”
“Nanti orang takut.”
“Boleh membawa huru-hara.”
“Kita tidak mahu patah ke belakang.”
“Kita akan jadi mundur.”
Bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.
Kalau Islam itu ditegakkan sebagai akidah dan ibadah, tidak mengapa, mereka tidak menyanggah kerana golongan yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang berakidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju ialah undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup. Ini mereka tidak boleh terima. Kalau kita mendatangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan bersetuju.
Orang Islam zaman kini lebih senang menerima logik akal atau berfikiran secara yang rasional. Katanya kini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan tiada border, bukan zaman unta.
Sekiranya kita serius juga memperjuangkan serta beria-ia sangat untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang, kita akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, dihalang, dibuang, dituduh memecah belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat atau ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.
Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun, adalah logik, rasional, patut serta munasabah bahawa Islam itu dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerima mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tidak akan menerimanya. Mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.
Di sini mari kita membawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang kita rasa amat logik dan rasional mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia sejagat bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara sahaja. Di antaranya seperti berikut:
1. Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan Tuhan dan milik-Nya dan manusia hanya menumpang sementara waktu. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan tidak masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia tapi manusia yang menumpang ini pula yang berhak membuat peraturan.
Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan disiplin atau yang empunya rumah itu membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima bahawa peraturan itu adalah dari yang punya rumah itu. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan rumah tumpangan itu. Ertinya Allah lah yang berhak membuat peraturan di dunia dan bukannya manusia.
2. Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tuan punyanya tidak menetapkan peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan Pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya. Demi keselamatan hamba-hamba-Nya sudah pasti dia membuat peraturan-peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang. Tidak masuk akal, setelah makhluk dicipta kemudian dibiarkan tanpa peraturan sedang manusia pun bila membuat sesuatu ada peraturannya!
3. Di dalam kehidupan kita di dunia, tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu; demi keselamatan barang rekaan; katalog panduannya dibuat oleh si pemakai atau pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna. Oleh kerana itulah katalog yang mengandungi peraturan-peraturan kereta misalnya, pencipta keretalah yang membuatnya. Kalau begitu, tentu lebih logik lagi untuk akal menerima bahawa demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia, maka Allah yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu sudah tentu membuat peraturan iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.
4. Akal dan fitrah semulajadi kita tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, kemudian dia memandai-mandai membuat dan menentukan peraturan-peraturan di rumah kita serta berbuat sesuka hati. Begitulah juga bagi akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, sebagai hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya sudah tentu kita boleh menerima bahawa kita tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita. Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu. Adalah dianggap tidak beradab kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah Pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.
5. Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab. Demi kebaikan keluarga itu dan agar mereka boleh bersatu padu, hidup aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga, peraturan dari ayah sebagai ketua keluargakah atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?
Fitrah semulajadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa menerima bersama peraturan dari ayah itu lebih mudah kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan. Abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. “Mengapa patut saya mengikut adik.” Yang adik pula walaupun dia adik, mungkin kerana dia merasa lebih pandai dari abang-abangnya memandangkan dia lulusan universiti sedangkan abangnya bersekolah rendah sahaja, maka dia kata, “Aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran.” Jika setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan, yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.
Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa yang sama-sama duduk menumpang di bumi Tuhan. Kalau setiap orang, kaum atau bangsa membuat peraturan, seperti ideologi ciptaan (sosialisme, nasionalisme, komunisme atau kapitalisme) untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia yang sama menumpang itu tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem hidup mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga. Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata, “Yang membuat peraturan itu juga manusia macam kami. Kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka.” Kerana manusia ini ada ego, payah hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bila manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima bahawa Tuhan yang menciptakan bumi dan mereka manusia adalah Tuhan bersama, serta menyedari bahawa mereka sama-sama menumpang di bumi Tuhan, ego mereka tidak akan terpukul dan tercabar. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliqnya.
6. Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan mereka, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan dan perhubungan antarabangsa. Kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat. Hal ini telah berjalan beberapa lama, yang telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian. Semua kaum dan bangsa yang bernaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada kalangan mereka tidak menukar akidah dan agamanya. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya sendiri.
7. Selain akidah dan ibadah, peraturan dan undang-undang serta akhlak di dalam Islam itu bersifat sejagat. Ertinya fitrah semula jadi boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, memang mereka bersama-sama mencarinya dan semua orang atau golongan menginginkannya kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Di antara beberapa contoh perkara yang diterima dan menjadi keinginan bersama itu adalah sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, berkerjasama, memberi maaf dan meminta maaf. Sifat-sifat negatif yang dibenci bersama seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim dan pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji serta diberi pahala oleh Allah. Manakala sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci dan sangat ditentang. Di dunia lagi ada hukuman-hukumannya dan di Akhirat nanti kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka. Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi, dua perkara yang kita sebutkan itu tidak dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.
8. Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti dan dicatat di dalam sejarah. Bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama oleh kaum, bangsa dan berbagai-bagai penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu. Hal sedemikian belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti fahaman-fahaman yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama iaitu Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberal kapitalisme. Begitu juga tidak berlaku terhadap faham komunis dari China dan Rusia. Sejarah telah mencatatkan, ideologi mereka itu penuh dengan sejarah hitam, berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa ilmu kemajuan dan pembangunan. Yang paling menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam. Dunia tahu hal ini maka tiada siapa yang boleh menafikannya.
9. Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat, kemudian negara-negara umat Islam telah merdeka satu demi satu. Sejak 60 tahun yang lampau hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka ini, undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama sedangkan di dalam amalan belum berjalan betul dan serius. Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme atau nasionalisme, ada yang berdasarkan liberal kapitalisme atau faham demokrasi Barat. Semuanya dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat dan agar masyarakat bersih daripada gejala-gejala negatif atau tidak sihat. Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, mereka masih takut dan bimbang. Bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam. Namun apa telah terjadi? Secara umum, kemajuan dan pembangunan belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain dan krisis politik masih tidak habis-habis. Di sudut ekonomi pula, banyak negara umat Islam yang miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya. Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas namun rakyat umum masih ramai yang papa kedana. Pergaduhan, pergeseran, pembunuhan dan peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat, dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang mahram masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku disebabkan oleh sistem-sistem yang telah disebut tadi. Ianya berlaku bukan kerana berjalannya undang-undang Islam di negara-negara itu. Patutnya dari pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf terutamanya para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendiakawan-cendiakawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka lebih boleh berfikir.
Sepatutnya umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad bahawa Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah terbukti kebaikannya, beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain. Oleh itu apa hendak ditunggu-tunggu lagi? Kita sudah cuba sistem orang lain dan hasilnya adalah kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat dan kemelaratan.
Apakah kita hendak teruskan undang-undang yang kita pinjam itu, yang ternyata telah merosakkan kita? Atau tunjukkanlah keberanian kita itu menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat.
10. Barat dengan faham dan ideologi mereka, di sudut ilmu dan fizikal, memang mereka berjaya. Mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu. Sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tetapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya gagal, punah-ranah, musnah, hancur dan lebur. Apa tidaknya, malu sudah tiada, seks dan kehidupan lucah macam binatang merata dan menjolok mata. Rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya. Zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja. Sistem kekeluargaannya punah-ranah. Hidup nafsi-nafsi jadi budaya, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja. Agama sudah tiada tempat. Orang tuanya terbiar manakala orang mudanya liar. Membunuh dan tembak-menembak jadi hiburan. Bunuh diri sebagai jalan keluar menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan. Pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai mereka telah bingung untuk mencari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada. Mereka tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam, tidak ada model. Umat Islam pun macam mereka kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama.
Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Ianya boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah mereka. Dengan sistem hidup, mereka berjaya melahirkan lambang-lambang kebesaran syaitan, lambang-lambang kebesaran haiwan dan lambang-lambang kebesaran pokok kayu di hutan rimba yang semuanya berupa manusia. Mereka gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.
Itulah di antara hujah-hujah kita mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi boleh diterima oleh akal. Bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Lebih-lebih lagi akal pun merasakan undang-undang Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, patut didaulatkan, logik dan tidak memalukan. Akal yang waras dan tidak prejudis, boleh menerima bahkan merasa ia patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia, di akhir zaman ini yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.