Monday, August 4, 2008

Sahabat Yang Disemadikan Di Bumi Syam(Syria)- Saidina Dehyah Al-Kalbi

SAYIDINA DEHYAH ALKALBI

Nasabnya
Dehyah bin Khalifah bin Farwah bin Fadhalah bin Zaid bin Imri'il Qais bin Khazraj bin Amir bi Bakar bin Amir Al Akbar bin Auf bin Al Qais bin Uzrah bin Zaid Al Lata bin Rufaidah bin Thaur bin Kalb bin Wabrah Al Kalbi.

Sejarah hidupnya:
Saidina Dehyah r.a merupakan salah seorang sahabat yang masyhur. Banyak peperangan yang beliau sertai bersama Rasulullah SAW kecuali peperangan Badar.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa Saidina Jibril pernah menyerupai Saidina Dehyah Al Kalbi, seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani dari Saidina Anas bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;"Bahawa Jibril pernah datang menyerupai Dehyah Al Kalbi".

Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah S.A.W pernah berjalan dengan beberapa orang sahabatnya di Suwarain (sebuah tempat berdekatan dengan madinah),sebelum sampai kepada Bani Quraizah Rasulullah bertanya;"Adakah sesiapa yang melalui jalan ini tadi" berkata para sahabat ;"Wahai Rasulullah kami melihat Saidina Dehyah bin Khalifah Al Kalbi menunggang Kaldai putih ….".Berkata Rasulullah s.a.w:" Beliau adalah Saidina Jibril yang diutuskan kepada Bani Quraizah untuk menggoncang kuda-kuda mereka untuk melontarkan ketakutan dihati-hati mereka".

Saidina Dehyah Al Kalbi dikatakan seorang yang mempunyai rupa paras yang sangat tampan dan kacak. Hinggakan dijadikan perumpaan dalam perkara yang berkaitan dengan keelokan rupa paras dan kecantikan. Diceritakan oleh Ibnu abbas bahawa setiap kali Dehyah masuk ke Madinah, gadis-gadis pasti tidak akan melepaskan peluang melihat wajahnya yang tampan.

Beliau pernah menjadi utusan Rasulullah ke Qaisar untuk perjanjian damai pada tahun ke 6 hijrah, dan telah mengislamkan Qaisar.

Diceritakan oleh Tarmizi bahawa Saidina Dehyah pernah menghadiahkan kepada Rasulullah 2 pasang khuf dan Rasulullah memakainya.

Sayidina Dehyah turut menyertai peperangan Yarmuk. Selepas beliau itu berhijrah ke Damsyik dan hidup hingga zaman pemerintahan Saidina Muawiyah. Beliau wafat pada tahun 45hijrah di Mazzah dan dikebumikan disitu. Maqamnya sangat masyhur. Meriwayatkan dari Rasulullah sebanyak tiga hadis.


Credit to : Regal Travel Middle East, Ustaz Harun Taat, Ustaz Soleh Saliyan, Lukman Hakim, Rizal Rosli

Sahabat Yang Disemadikan Di Bumi Syam (Syria) - Saidina Bilal Bin Rabah r.a

SAIDINA BILAL IBNU RABBAH

Keturunannya
Bilal Ibn Rabbah Al Habsyi Al Qurasyi At Taimi. Bapanya Rabbah, ibunya Humamah.Beliau juga dikenali dengan panggilan Abu Abdullah.

Sejarah hidupnya
Beliau merupakan salah seorang yang pertama memeluk agama Islam di peringkat awal Islam dan digelar (As Sabiqunal Awwalun). Beliau sangat tabah dalam menghadapi ujian dan seksaan yang dikenakan keatasnya sewaktu memeluk Islam oleh tuannya Umaiyah. Tuannya telah menyeksanya di tengah panas terik dan diletakkan keatas dadanya sebiji batu besar yang berat dan berkata kepadanya “Selagi mana engkau tidak meninggalkan Muhammad dan kembali menyembah Latta wal u’zza, maka berterusanlah engkau didalam keadaan begini sehingga mati”. Tetapi semua itu sedikit pun tidak menggugat keteguhan iman Saidina Bilal kepada Allah swt. Malah lidahnya terus menyaksikan keesaan Allah SWT dengan menyebut:”Ahad, Ahad”.

Maka berterusanlah seksaan keatas Saidina Bilal tanpa belas tanpa kasihan hinggalah pada satu hari Saidina Abu Bakar berjalan dan terlihat kejadian yang amat menyayatkan hati itu bagi siapa pun yang melihat, terus dibeli dari tuannya dan dibebaskan.
Saidina Bilal adalah muaazin Rasulullah sewaktu hidupnya, di mana saja Rasulullah berada. Beliau merupakan orang pertama yang melaungkan azan dalam Islam. Suaranya dikenali oleh seluruh ahli Makkah dengan suara yang lunak dan merdu. Laungan azannya yang merdu menyusup ke seluruh Madinah. Kaum muslimin yang mendengar suaranya segera bergegas-gegas kemasjid untuk menunaikan solat bersama Rasulullah S.A.W. Beliaulah yang telah menambah dalam azan subuh kalimah “ Assolatu khairun minan naum ”.

Saidina Bilal bukan muazzin Rasulullah, bahkan sebagai penyimpan harta Rasulullah S.A.W. Beliau berkulit hitam manis,kurus,tinggi dan mempunyai rambut yang lebat.

Turut sama dalam hijrah ke Madinah. Saidina Bilal sentiasa bersama Rasulullah di setiap peperangan yang di sertai baginda. Di peperangan Badar beliau telah memenggal kepala Umaiyah bin Khalaf.

Sewaktu pembukaan Makkah, Rasulullah telah masuk dengan penuh kesyukuran bersama 10 ribu orang muslimin dan menghala ke Ka’bah dan masuk kedalamnya dengan ditemani oleh Saidina Bilal. Lalu Rasulullah menyuruh Saidina Bilal naik keatas Ka’bah dan laungkan azan. Berdirilah ribuan ribuan umat Islam dalam suasana yang sungguh tenang dan mengamati setiap kalimah yang dilaungkan oleh Saidina Bilal. Kaum muslimin dengan penuh khusyuk mengikuti perlahan-perlahan setiap lafaz yang dilafazkan dalam azan tersebut.

Walaupun banyak anugerah dan kelebihan yang diberikan pada Saidina Bilal ini, tapi beliau sangat tawadhuk,tidak melihat pada dirinya hanyalah seorang yang berbangsa Habsyi yang semalamnya hanya seorang hamba abdi.

Kecintaannya pada Rasulullah sangat luar biasa. Sentiasa bersama Rasulullah dalam setiap peperangan dan jihad hinggalah baginda pulang bertemu rafiqul A’la. Saidina Bilal melalui hari-harinya dengan sembahyang dan ibadah.

Di hari kewafatan Rasulullah SAW, sewaktu baginda di atas pembaringan masuk Saidina Bilal untuk bertemu jasad baginda yang mulia, beliau tidak dapat menahan lagi kesedihan dan sebak yang ditanggung di dadanya lalu berjujuranlah air mata mengalir di atas pipinya. Kemudian beliau bersembahyang dan terus pulang kerumahnya dengan membawa perasaan yang hiba dan sayu yang amat mendalam. Kerana kesedihan berpisah dengan Rasulullah hingga beliau tidak mampu tidur sepanjang malam hinggalah menjelang fajar.

Beliau keluar untuk mengazankan solat subuh seperti yang biasa dibuat. Tiba waktu subuh yang hening dan tenang beliau pun melaungkan setiap kalimah di dalam azan dan tiba-tiba terhenti di kalimah “ اشهد أن محمداً رسول الله‘’. Seolah-olah tersekat sebutan itu kedalam kerongkongnya, terikat lidahnya, kedua bibirnya terbungkam.Lantas mengalir air matanya diatas kedua belah pipinya dengan amat deras seperti hujan yang lebat. Setelah dikumpulkan segala kekuatan untuk mengawal dirinya, dan membuka ikatan lidahnya dan akhirnya dapatlah beliau menyempurnakan azannya dengan suara yang perlahan dan tenang.

Semenjak kejadian itu Saidina Bilal pergi menguzlahkan dirinya. Sewaktu tibanya waktu solat orang ramai mencari Saidina bilal untuk azan, akhirnya mereka bertemu juga tempat uzlah Saidina Bilal tapi beliau enggan dengan berkata :“ aku tidak akan azan lagi selepas ini,maka carilah orang lain selain aku”.

Sewaktu pemerintahan Saidina Abu Bakar, Saidina Bilal telah memohon untuk keluar berjihad bersama tentera-tentera Saidina Usamah ibn Zaid yang diarahkan oleh khalifah untuk ke negara Syam.Tapi Saidina Abu Bakar menolak permohonan tersebut dan meminta Saidina Bilal untuk berada bersamanya.

Selepas kewafatan Saidina Abu Bakar, tampok pemerintahan di amanahkan kepada Saidina Umar AlKhattab R.A. Sekali lagi Saidina Bilal memohon izin untuk keluar berjihad, tanya Saidina Umar: “Tak mahukah kamu berada disampingku sepertimana engkau sentiasa disamping Rasulullah dan Saidina Abu Bakar? Jawab Saidina Bilal: “Aku rindu dengan jihad wahai Amirul Mukminin kerana aku pernah mendengar Rasulullah menyebut padaku: “Wahai Bilal..tiada amalan yang lebih baik daripada berjihad pada jalan Allah”. Jawab Saidina Umar: “ terpulanglah pada kamu wahai Bilal, tapi kemana kamu hendak pergi?”. “Aku akan menyusuri Saidina Abu Ubaidah di Syam”. Maka pergilah Saidina Bilal ke Syam.

Ketika Saidina Umar R.A pergi ke Syam, Saidina Bilal telah diminta untuk mengazankan untuk satu waktu sembahyang.Maka Saidina Bilal pun naik keatas minbar dan melaungkan azan buat kali pertamanya setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Laungan azan Saidina Bilal kali ini membuatkan orang-orang yang pernah bersama Rasulullah menangis dengan tangisan yang tak pernah ditangisi sebelum ini kerana mengenangkan Rasulullah.Orang yang paling hebat tangisannya adalah Saidina Umar R.A.

Diceritakan juga bahawa Saidina Bilal pernah diminta untuk azan oleh Khalifah Umar ketika menziarahi maqam Rasulullah. Tapi Saidina Bilal tidak mampu untuk menyempurnakan azannya.

Hari demi hari Saidina Bilal ditimpa sakit yang teruk hingga menyebabkan terpisahnya nyawa dari badannya. Tapi baginya ia adalah satu kegembiraan kerana beliau akan ditemukan dengan kekasihnya Rasulullah.

Diriwayatkan bahawa Saidina Bila wafat di zaman pemerintahan Khalifah Umar R.A. Tarikh wafatnya dikatakan pada 20 hijrah, ada juga yang mengatakan pada 17hijrah, ada juga yang mengatakan pada 18hijrah dan dikebumikan di ‘Babus Soghir” Damsyiq. Maqamnya jelas dan terkenal.
Beliau juga ada meriwayatkan hadis dari Rasulullah sebanyak 44hadis, ada terdapat di kitab sohihail Bukhari wa Muslim.

Credit To : Regal Travel Middle East
Ustaz Harun Taat
Ustaz Soleh Saliyan
Lukman Hakim Ibrahim
Rizal Rosli